Dua bekas penguat kuasa PBT diiringi masuk ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk mendapat perintah reman.

KUALA LUMPUR – Dua bekas anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyamar sebagai pegawai polis dan disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM18,000 telah direman tujuh hari bermula hari ini hingga 22 Januari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Arunjothy A/P M Selvaraju.

Mereka dipercayai meminta dan menerima rasuah itu sebagai balasan bagi menutup satu siasatan kes pengubahan wang haram terhadap seorang lelaki.

“Kedua-dua suspek dipercayai menyamar sebagai pegawai dari Unit Risikan Bukit Aman dan telah datang ke pejabat mangsa di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis minggu lalu.

“Suspek telah memberitahu kononnya terdapat satu kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dibuka terhadap mangsa membabitkan kesalahan di bawah akta pengubahan wang haram,” menurut sumber SPRM semalam.

Menurut sumber, sehari selepas itu, suspek datang semula ke pejabat mangsa dan telah meminta wang rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan untuk menutup siasatan berkenaan.

Kata sumber lagi, mangsa yang ketakutan telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada suspek dan memaklumkan akan menyerahkan baki RM8,000 pada Isnin (15 Januari 2024) sebelum membuat laporan kepada SPRM pada Ahad lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

Minta rasuah RM18,000, dua bekas penguat kuasa ditahan SPRM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast