Jambatan Bailey akan dibuka tidak lama lagi. Foto FB JKR Pekan

KUANTAN – Pembinaan jambatan bailey di Jalan Kuantan – Segamat, sudah siap 80 peratus dan dijangka boleh digunakan dalam masa terdekat ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, meskipun jambatan itu hampir sudah siap namun laluan ke jambatan itu masih belum dapat disiapkan ekoran cuaca tidak menentu.

“Pemasangan bailey itu hampir selesai dan kita sekarang buat kerja-kerja jalan. Pembinaan jalan tersebut bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” katanya ketika ditemui sidang media di sini, hari ini.

Jambatan bailey itu sepanjang 30.48 meter dibina selepas berlaku mendapan tanah pada Sabtu lepas.

Pembinaannya  mengambil masa kurang dari seminggu untuk disiapkan seperti perancangan awal.

Sementara itu Fakharuddin berkata, kes tanah mendap di kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar 2 Paloh Hinai akan diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.

Menurutnya wakil dari Bahagian Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang telah melakukan pemeriksaan di tapak kuarters berkenaan pada 9 Januari lalu.

Insiden yang berlaku pada 7 Januari lalu menyebabkan 24 penghuni di bangunan kuarters empat tingkat sekolah terbabit diarah dipindahkan susulan kejadian tanah mendap berhampiran kuarters itu.

Tambahnya anggaran kos akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan negeri dan pihaknya sedang menunggu laporan daripada pihak terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast