PUTRAJAYA – Lebih RM1.035 bilion zakat berjaya dikutip di Wilayah Persekutuan tahun lepas, peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, keseluruhan pembayar zakat turut meningkat sebanyak 1 peratus dengan seramai 1,851,852 orang pembayar berbanding 2022 iaitu sebanyak 1,832,764 orang.
“Zakat Pendapatan telah menyumbang kutipan tertinggi sebar RM702 juta bersamaan dengan 68 peratus daripada kutipan keseluruhan.
“Kutipan kedua tertinggi adalah Zakat Perniagaan dengan jumlah yang dikutip sebanyak RM165 juta bersamaan daripada kutipan keseluruhan.
“Baki 16 peratus terdiri daripada Zakat Wang Simpanan, Zakat Harta, Zakat Fitrah, Qadha dan lain-lain,” katanya pada Sidang Media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2023, di sini, hari ini.
Mohd Na’im berkata, bayaran melalui potongan gaji zakat menjadi pilihan utama pembayar yang mana telah menyumbang 50 peratus daripada keseluruhan kutipan iaitu sebanyak RM519 juta.
Ujarnya, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan berkenaan adalah pelaksanaan strategi pemasaran dan promosi yang berterusan serta kepelbagaian saluran bayaran zakat oleh PPZ-MAIWP bagi menarik minat dan memupuk kesedaran berzakat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Sepanjang 2023, MAIWP telah berjaya membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan, sekali gus berjaya mengurangkan peratusan kemiskinan tegar sehingga hanya lapan peratus sahaja baki yang mash perlu dibantu.
“Daripada jumlah keseluruhan agihan zakat, penyaluran melalui skim-skim bantuan yang dikategorikan mengikut kluster merupakan agihan terbesar yang berjumlah RM598,945,310.
“Kluster Bantuan terdiri daripada Kebajikan, Perlindungan, Ekonomi, Perubatan, Pendidikan dan Pembangunan Ummah.
“Manakala, baki agihan selain daripada skim bantuan adalah sebanyak RM353,327,017 diagih menerima agihan melalui Pembangunan Asnaf, Wakalah, Institusi Pendidikan dan Kebajikan, Amil, Prasana Umat Islam dan Belanja
Penyelanggaraan Prasarana,” katanya. – MalaysiaGazette