KUALA LUMPUR – Polis meminta seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor membuat laporan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asistent Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, satu laporan telah dibuat oleh pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas mengesan video tular berdurasi 46 saat di aplikasi X pada jam 4.37 petang semalam.
“Hasil siasatan mendapati, video itu memaparkan mangsa telah diganggu secara seksual dipercayai sambil melakukan onani oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.
“Kejadian terbabit dipercayai berlaku di sekitar Kota Damansara dan semakan mendapati, setakat ini tiada lagi laporan dibuat oleh mangsa berhubung insiden itu,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, polis juga mengesan suspek yang terlibat melakukan perbuatan tidak senonoh itu dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Susulan itu, Mohamad Fakhrudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menyelurkannya dengan menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Magenderan (017-3356810).
Terdahulu, tular di media sosial memaparkan seorang wanita berdepan detik cemas diganggu lelaki yang menunggang motosikal dalam kejadian pada petang Ahad.
Dalam video itu, lelaki terbabit mengajak mangsa berbual dengan bertanyakan tentang jalan namun mangsa terus diekori sambil diajak menaiki motosikal.
Mangsa terkejut apabila lelaki itu membuka seluar untuk melakukan perkara tidak bermoral disyaki onani di hadapan mangsa. – MalaysiaGazette