PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan semula Program Rekalibrasi Pulang kepada pekerja asing yang menetap melebihi tempoh, bermula tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mempertimbangkan cadangan itu yang dibuat beberapa kedutaan negara sumber.
“Kita akan mengadakan semula Rekalibrasi Penghantaran Pulang kepada rakyat asing yang tinggal lebih masa di negara kita mulai tahun ini.
“Kita akan cadangkan satu tarikh kepada Jemaah Menteri. Ini adalah maklum balas daripada Kedutaan Negara Sumber.
“Mereka mengesyorkan supaya ruang untuk penghantaran pulang kepada rakyat mereka itu dibuka kembali,” katanya pada sidang media, di KDN, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Menurut beliau, walaupun program penghantar warga asing ini diperkenalkan semula, namun mereka tidak terlepas daripada hukuman kerana menetap melebihi tempoh.
“Sudah tentu mereka akan dikenakan kompaun, dan sebagainya, kita akan teliti perkara itu, bergantung kepada proses permohonan yang kita terima.
“Mesyuarat bersetuju untuk menimbangkan cadangan itu dan akan kemukakan kepada Jemaah Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
mohon info berapa hari bulan boleh memohon untuk ikut rekalibrasi pulang ke Indonesia