Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan pendirian kerajaan negeri tidak bersetuju UNITEN kampus KSHAS di Muadzam Shah ditutup

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan perjuangan membangunkan dan mengekalkan UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi.

Bahkan beliau menafikan dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang mengusahakan untuk menyelamatkan universiti berkenaan daripada ditutup susulan isu berkenaan hangat diperkatakan sebelum ini.

Sebaliknya, ujar Wan Rosdy, usaha bagi mengekalkan kampus itu telah dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen Rompin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis ketika hayatnya.

”Semalam kita sudah bincangkan isu UNITEN tapi pihak di sebelah sana (PN) kata kononnya merekalah mainkan peranan yang mejadikan UNITEN tidak ditutup.

”Ada viral mengatakan PN yang perjuangkan UNITEN tidak ditutup. Tidak benar. Tapi sebenarnya BN dari dulu lagi, daripada tahun 2014, 2015, Allahyarham Tan Sri JJ yang yang berjumpa dengan pihak UNITEN supaya tidak ditutup kerana ketika itu ada ura-ura operasi UNITEN ditutup,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika sidang media sejurus Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pahang Skills, E&P O&M Services Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Petronas di sini hari ini.

Pada 15 Januari lalu, Kerajaan Negeri Pahang bersama Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju agar UNITEN KSHAS di Muadzam Shah, Rompin terus dikekalkan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Uniten KSHAS dikekalkan

Pahang tak setuju kampus Uniten ditutup

Uniten Muadzam Shah ditutup? KPT tidak pernah terima laporan

Jatuh kredibiliti TNB kalau tutup UNITEN – Ahmad Azlan