Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Seorang ibu dan anaknya merupakan antara yang ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di Johor.

Selain itu, seorang lelaki yang juga rakan kepada wanita tersebut turut ditahan dalam serbuan berasingan pada Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anak kepada wanita berusia 61 tahun itu didapati dalang utama sindiket berkenaan ditahan di sebuah pangsapuri di Larkin di sini, kira-kira jam 5.30 pagi hari tersebut.

“Kemudian polis melakukan dua lagi serbuan susulan di pangsapuri sama dan sebuah rumah teres di Kangkar Pulai, Iskandar Puteri antara 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang, Ahad lalu turut merampas pelbagai jenis dadah berjumlah lebih RM1.23 juta.

“Modus operandi  kegiatan itu adalah menjadikan subuah  pangsapuri di kawasan berpagar dan berpengawal yang disewa sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Menurut Kamarul, rampasan yang dilakukan itu membabitkan  16.47 kilogram serbuk ekstasi, 39 paket ganja, 1.77 gram syabu dan 0.59 gram pil erimin 5.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan mencetak pil ekstasi seperti mesin pencetak, pengisar, penimbang, loyang dan penapis turut ditemui.

“Selain itu kita juga merampas lima butir peluru disyaki peluru hidup yang disembunyikan dalam mesin basuh di pangsapuri berkenaan ketika serbuan kedua dibuat.

“Semua dadah yang dirampas ini, jika terlepas ke pasaran, boleh digunakan seramai 62,690 orang penagih,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati sindiket tersebut telah beroperasi sejak Oktober lalu.

Menurut Kamarul Zaman, hasil ujian air kencing suspek utama didapati positif methamphetamine selain mempunyai 46 rekod kes jenayah dan dadah lampau serta dikehendaki polis bagi enam kes jenayah dan dadah.

Katanya, ketiga-tiga suspek warga tempatan tu direman tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.-MalaysiaGazette