KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk merujuk isu perundangan ke Mahkamah Persekutuan berhubung penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan itu selepas mendapati ia tidak mempunyai merit.

Beberapa persoalan yang mahu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan akan menjadi akademik kerana persoalan sama sudah diputuskan dalam beberapa kes sebelum ini.

Antara kes termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata, peruntukan Seksyen 84 tidak boleh digunakan untuk melayan persoalan undang-undang yang telah akademik.

“Kuasa untuk mentafsir peruntukan Perlembagaan tidak eksklusif kepada Mahkamah Persekutuan sahaja sebaliknya ia adalah langkah akhir bagi persoalan seumpama itu.

“Hanya beberapa kes ‘luar biasa’ sahaja seperti dalam Perkara 128 Persekutuan akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Permohonan ini tidak merujuk dalam kategori tersebut,” katanya dalam aplikasi Zoom sebentar tadi.

Mahkamah menetapkan 6 Februari ini untuk pengurusan kes saman pemula itu.

Persoalan dirujuk oleh Muda ke Mahkamah Persekutuan ialah jika SPRM hanya dibenarkan secara sah menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang digantung tugas menurut Perkara 125(5) Perlembagaan Persekutuan.

Satu lagi persoalan ialah adakah pendakwa raya mempunyai kuasa memulakan prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Ini juga berkaitan dengan saman pemula oleh Muda  terhadap SPRM dan kerajaan yang dinamakan sebagai defendan siasatan selain maklumbalas terhadap siasatan badan itu terhadap Mohd Nazlan.

Pada April tahun lalu, Muda memfailkan saman pemula melalui firma guaman Tetuan Lim Wei Jiet, memohon perisytiharan bahawa SPRM tiada bidang kuasa menyiasat dan membuat penemuan bahawa hakim mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan terdapat konflik kepentingan ketika mendengar sesuatu kes.

Parti itu juga memohon perisytiharan bahawa penemuan SPRM bahawa Mohd Nazlan melanggar kod etika hakim dan mempunyai konflik kepentingan ketika mendengar kes SRC International, adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. – MalaysiaGazette