KUALA LUMPUR – Akibat takut diketahui keluarga kerana mengandung anak luar nikah, seorang pelajar di Negeri Sembilan sanggup membuat laporan polis palsu dirogol lelaki tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pelajar berusia 20 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir pukul 7.26 malam tadi.
“Polis telah menjalankan siasatan termasuk merakam keterangan mangsa yang mendakwa dirogol pukul 6.15 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Serting Ilir, Bahau, Negeri Sembilan.
“Keterangan suspek dirakam dan menceritakan semasa berada di rumah telah dimasuki oleh seorang lelaki tidak dikenali dengan memakai pakaian warna hitam dan memakai pelitup muka.
“Suspek mendakwa dibawa masuk ke dalam bilik tidur dan dirogol. Bagaimanapun, pihak forensik tidak menjumpai spesimen atau air mani di tempat kejadian.
“Pihak polis mendapati keterangan suspek agak mencurigakan dan membawanya ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan suspek tidak mengalami kecederaan dan telah mengandung lima minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, pemeriksaan ke atas telefon bimbit suspek mendapati terdapat perbualannya dengan teman lelakinya yang mencurigakan.
Ujarnya, terdapat perbualan yang mencurigakan dan disyaki laporan polis yang dibuat oleh suspek adalah tidak benar.
“Soal siasat lanjut ke atas suspek dilakukan dan dia mengaku laporan polis yang dibuat adalah tidak benar dan rekaan semata-mata.
“Pelajar kolej di Negeri Sembilan dalam jurusan diploma itu telah membuat laporan palsu kerana mengandung hasil hubungan seks dengan teman lelaki dan takut diketahui keluarganya,” jelasnya.
Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette