KUALA LUMPUR – Polis masih memburu seorang pengasuh yang dipercayai memukul seorang kanak-kanak lelaki sehingga patah kaki.

Ketua Polis KL, Datuk Allaudeen Abdul Majid siasatan masih dijalankan terhadap wanita warga asing itu.

“Belum dijumpai, kertas diasatan telah dibuka. Kita masih kesan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dicubit, digigit dan dipukul sehingga patah kaki oleh pengasuhnya.

Kanak-kanak yang tidak sedarkan diri itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin minggu lalu akibat kecederaan dialami.

Sementara itu, Allaudeen berkata, kes dua beradik berumur 16 dan 17 tahun yang didakwa diculik dan ditempatkan di sebuah motel di Jalan Petaling kini disiasat IPK Selangor.

Sehubungan itu katanya, pihaknya menunggu tindakan daripada ibu penabat berkenaan.

Seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor pada 1 Januari lepas ditemukan pada 11 Januari lalu dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni.

Ibu mangsa berkata, anaknya yang mesra dengan panggilan Along, berusia 17 tahun mendakwa dia dan adiknya yang berusia 16 tahun, telah dilarikan oleh individu yang tidak dikenali dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling.

Namun Mereka berjaya melarikan diri ketika lelaki yang menjaganya tertidur akibat pengaruh dadah. – MalaysiaGazette