Foto Facebook Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan Kelantan FC bagi Lesen Kebangsaan sekaligus membuat kelab itu terpaksa melupakan hasrat untuk kekal dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) Mohamad Yasin Abdullah berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat semalam, selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

“Keputusan itu diumumkan kepada pasukan hari ini melalui pemakluman rasmi sekali gus menyaksikan Kelantan tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super 2024-2025,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, kelab dari Pantai Timur itu telah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa AB berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan kerana masalah kewangan.

Kriteria Kewangan di bawah subkriteria F.04 merujuk kepada No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – sehingga Jun, manakalasub-kriteria F.11 mengenai No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – sehingga Ogos.

Skuad TRW yang terpalit masalah kewangan, menamatkan saingan Liga Super 2023 pada kedudukan tercorot dalam kalangan 14 pasukan bertanding dengan mengumpul lapan mata selepas tewas dalam 22 perlawanan dan meraih masing-masing dua keputusan menang dan seri. – MalaysiaGazette