Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berdepan dakwaan menghasut memohon kes beliau dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bagaimanapun, prosiding membabitkan Menteri Besar Kedah itu yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dalam pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya bermula esok ditangguhkan.

Peguam yang mewakili Muhammad Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mengesahkan perkara itu berkata, permohonan anak guamnya dikaji Jabatan Peguam Negara (AGC).

Difahamkan Muhammad Sanusi memohon supaya prosiding ditangguh kerana perlu menghadiri urusan rasmi di luar negara.

Awang Armadajaya berkata, hari pertama perbicaraan esok telah ditukar kepada prosiding sebutan dan anak guamnya dikecualikan daripada menghadirinya.

Muhammad Sanusi yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) turut didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung titah Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Pemimpin tertinggi Pas itu akan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette