Kok Chin (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kegiatan 13 ahli sindiket perjudian dalam talian mengaut keuntungan RM2.5 juta setiap bulan terbongkar selepas kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Pulau Pinang semalam.

Kegiatan dua sindiket berasingan itu terbongkar selepas Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang dengan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut serta Barat Daya menyerbu sebuah pusat komersial di Jelutong dan kondominium mewah di Queensbay, Bayan Baru.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, 13 suspek yang ditahan itu terdiri daripada lima wanita dan lapan lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 32 tahun yang merupakan pekerja sindiket tersebut.

Kok Chin.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati dua sindiket perjudian itu menggunakan modus operandi sama iaitu menyasarkan pelanggan asing khususnya dari Australia dan Bangladesh dengan mempromosikan kegiatan mereka menerusi aplikasi WeChat serta Facebook.

Kata beliau, siasatan turut membawa kepada pendedahan sindiket pertama mampu mengaut keutungan RM1 juta sebulan manakala sindiket kedua mengaut keuntungan sebanyak RM1.5 juta.

“Serbuan pertama jam 10.55 pagi kita lakukan di Jelutong di sini, yang membawa kepada tangkapan sembilan suspek termasuk wanita yang berperanan sebagai pengurus sumber manusia bagi merekrut serta menawarkan gaji lumayan kepada orang tempatan untuk bekerja dengan sindiket.

“Semakan lanjut mendapati sindiket pertama ini sudah beroperasi sejak setahun lalu dengan menjadikan premis komersial yang disewa pada kadar RM7,000 sebulan sebagai calling centre.

Kok Chin menunjukkan antara ahli sindiket perjuadian dalam talian yang ditahan dalam dua serbuan tersebut.

“Serbuan kedua membabitkan empat lelaki berusia 21 hingga 33 tahun pula dilakukan pada jam 1.30 tengah hari yang mana mereka sewa kondomonium RM5,000 sebulan untuk jalankan kegiatan promosi perjuadian,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK), hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan komputer, 32 buah telefon bimbit, modem internet, buku catatan, kamera litar tertutup (cctv) dan sembilan buah kereta termasuk kereta mewah.

Mengulas mengenai peranan pekerja sindiket tersebut, Kok Chin berkata, mereka dibayar gaji antara M2,000 hingga RM6,000 hanya untuk membuat promosi pelbagai permainan perjudian dalam talian.

Sembilan buah kereta turut dirampas dalam serbuan sama.

“Selain mendapat gaji, pekerja tersebut juga akan memperoleh komisyen bagi setiap promosi perjuadian yang berjaya.

“Kesemua suspek yang ditahan itu tiada rekod jenayah dan kini direman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu menguruskan serta mempromosi kegiatan perjudian,” katanya. – MalaysiaGazette