Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari Foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Susulan pengumuman pelarasan tarif air di seluruh Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), caj minimun baharu air bagi kategori domestik di Selangor akan beralih daripada RM6 kepada RM6.50.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kenaikan itu membabitkan penggunaan meter padu air setiap isi rumah bermula pada 1 Februari depan.

Tambah beliau, kadar caj penggunaan air daripada 0 sehingga 20 meter padu akan beralih sebanyak lapan sen iaitu kepada 65 sen.

“Ini bermaksud bagi rumah yang menggunakan air 20 meter padu dan ke bawah setiap bulan, caj baharu akan meningkat maksimum sekitar RM1.60 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin turut memberitahu, bagi penggunaan air 20 hingga 35 meter padu pula, kadar caj baharu bagi kategori ini akan beralih sebanyak 29 sen kepada RM1.32 bagi setiap meter padu.

“Maksudnya, peningkatan keseluruhan bagi rumah yang menggunakan air sehingga 35 meter padu adalah maksimum sebanyak RM5.95 sebulan,” jelasnya.

Amirudin turut menjelaskan, penggunaan air yang melebihi 35 meter padu, kadar caj baharu adalah sebanyak RM2.63 berbanding kadar lama iaitu RM2.

“Bagi kategori kondominium pula, caj minimum secara pukal akan kekal pada RM173 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak 30 sen kepada RM1.68 bagi penggunaan setiap meter padu air.

“Sementara bagi estet dan kuarters kerajaan, kadar caj baharu akan meningkat sebanyak 68 sen kepada RM1.68 dan caj minimum baharu adalah RM16.80 berbanding sebelum ini iaitu RM12.00 sebulan,” kata beliau.

Dalam pada itu, kadar baharu bagi kategori rumah kos rendah adalah 98 sen bagi setiap meter padu air yang merupakan caj paling rendah.

“Rumah kos rendah mengalami peningkatan paling kecil bagi semua kategori kediaman iaitu sebanyak 18 sen bagi setiap meter padu,” ujarnya.

Bagi kategori bukan domestik dan kategori khas pula membabitkan perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain memperlihatkan peralihan kadar baharu kepada RM2.70 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu.

“Penggunaan lebih daripada 35 meter padu dikenakan caj RM2.94 bagi setiap meter padu,” katanya.

Malah penggunaan air dalam kategori rumah ibadah dan institusi kebajikan diberikan kelonggaran caj dengan kadar rata dan paling rendah iaitu peningkatan 6 sen bagi setiap meter padu kepada 66 sen.

“Kerajaan negeri juga akan menanggung peningkatan bagi rumah-rumah ibadah dan rumah-rumah kebajikan di negeri Selangor dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta.

“Selain itu, bagi kategori kapal, kadar baharu akan beralih dari RM7 kepada RM7.08,” katanya.

SPAN semalam memaklumkan pelarasan tarif air yang baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksana bermula Februari depan.

Pelarasan itu yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu, dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif di mana struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung serta Labuan dan ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran. – MalaysiaGazette