Ketiga-tiga geng pecah rumah yang dihadapkan ke mahkamah hari ini mengaku bersalah atas kesalahan dilakukan mereka.

KOTA TINGGI – Tiga ahli geng pecah rumah yang menjadikan sebuah hotel di Desaru, Bandar Penawar, dekat sini,  sebagai tempat persembunyian didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan melakukan pencerobohan, mengurung dan menghalang penjawat awam.

Kesemua ahli geng pecah rumah Che Wan mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Ikhwan Mohd Sharif, 33, dan Muhamad Badry Muhamad Azami, 23, pada 21 Disember  2023 pada pukul 11 pagi di inap desa sebuah hotel di Desaru, Bandar Penawar didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan masuk ke bilik penghuni lain dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa dengan sengaja mengurung lima penghuni inap desa secara salah di hotel tersebut pada tarikh dan waktu yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama serta boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Untuk pertuduhan ketiga, mereka didakwa menghalang tugas polis kerana enggan membuka pintu bilik untuk mengelak daripada pemeriksaan pada tarikh waktu dan lokasi yang sama.

Jika sabit  kesalahan tertuduh boleh  didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum maksimum dua tahun penjara atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khiruddin Khalid.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan.

Berikutan pengakuhan tertuduh, majistret Muhammad Fitri menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan daripada tarikh sabitan bagi pertuduhan pertama, bagi pertuduhan kedua hukuman penjara setahun dari tarikh sabitan dan denda RM1,000 jika gagal melakukan pembayaran boleh dipenjara selama tiga bulan.

Bagi pertuduhan ketiga, majistret itu menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan yang akan berjalan selepas hukuman pertuduhan pertama dan kedua selesai dijalankan.

Sementara itu dimahkamah sama, ketua geng pecah rumah Che Wan, Mohamad Saifuan Mohd Noor, 33, didakwa melakukan khianat merosakkan pintu gelongsor kaca hotel yang sama sehingga menyebabkan kerugian RM500.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 21 Disember 2023 pada pukul 10.26 pagi di hotel sama dan boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah masuk ke bilik hotel penghuni lain tanpa kebenaran dengan niat melakukan pencerobohan pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menghalang tugasan polis dengan melarikan diri dari pemeriksaan polis pada 22 Disember 2023 pukul 11.30 pagi di belakang bangunan kediaman Laman Desaru, Bandar Penawar.

Dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum maksimum penjara selama dua tahun denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Muhammad Fitri menetapkan hukuman penjara selama setahun bermula tarikh sabitan bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala pertuduhan ketiga hukuman 10 bulan penjara yang berjalan selepas hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua selesai. – MalaysiaGazette