PEKAN – Sebuah jambatan kekal bernilai RM17 juta akan dibina di Kilometer 73, Seksyen 102, FT 12 Kuantan-Segamat bagi menggantikan jambatan Bailey yang dipasang di lokasi berkenaan sekarang.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan jambatan kekal baharu itu memakan masa dua atau tiga tahun untuk disiapkan.
Mengulas lanjut, peruntukan telah dibuat menerusi kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi pembinaan jambatan baharu.
“Kita merancang untuk membina jambatan kekal di jalan asal laluan ini bagi menggantikan jambatan Bailey yang dipasang buat sementara waktu,” katanya.
Ahmad berkata demikian ketika meninjau kerja-kerja pemasangan jambatan Bailey yang telah siap namun masih memerlukan masa bagi menunggu cuaca baik bagi pemasangan hamparan premix.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang, Datuk Hafizah Zakaria.
Menurut Ahmad, pembinaan jambatan Bailey berkenaan memecah rekod kerana siap dalam tempoh tiga hari kerana kebiasaan yang memakan masa lima hingga tujuh hari.
Untuk rekod, proses pemasangan jambatan Bailey jenis Acrow 700XS (double lane) sepanjang 30.48 meter dengan lebar 9.3 meter itu adalah paling pantas laitu hanya tiga hari selepas dimulakan pada 11 Januari lalu di Kilometer 73, Seksyen 102, FT 12 Kuantan-Segamat.
Pemasangan jambatan Bailey dilakukan ekoran kejadian tanah mendap di lokasi tersebut sehingga menyebabkan jalan Persekutuan tersebut berlubang dan hampir putus.
Justeru laluan telah ditutup kepada semua jenis kenderaan dan pemakluman beberapa laluan alternatif telah dimaklumkan kepada pengguna jalan raya, antaranya laluan FT 03 (Kuantan – Endau), FT 63 (Leban Condong – Muadzam Shah) dan FT82 melalui Pekan Batu Balek
Ahmad berkata laluan jambatan Bailey Kuantan-Segamat itu akan dibuka sepenuhnya selepas selesai kerja-kerja premix dilakukan yang memerlukan proses sekurang-kurangnya sehari jika cuaca baik. – MalaysiaGazette