Mangsa, Loh Seow Hwa (kiri) bercakap pada sidang media berkenaan mangsa sindiket pemerdagangan manusia luar negara di Petaling Jaya, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2024

PETALING JAYA – Seorang jurutera perisian bimbang memikirkan keselamatan isterinya yang hilang selepas dikatakan pergi ke luar negara, sejak 4 Januari lalu.

Loh Seow Hwa, 44, berkata, isterinya, Lee Je Siang, 63, yang bekerja sebagai sukarelawan keluar dari rumah di Bandar Puchong, Selangor, untuk pergi ke Taiwan atas urusan peribadi pada 28 Disember lalu.

Menurut beliau, isterinya dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke negara ini pada 7 Januari lalu namun, sehingga kini wanita itu masih belum pulang dan gagal dihubungi.

“Pada 3 Januari, saya menelefon dia (isteri) untuk bertanyakan tarikh dan waktu penerbangan pulang dia ke Malaysia.

“Dia memberitahu akan tiba jam 9 malam pada 7 Januari. Pada hari itu saya menunggunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tapi dia tidak muncul dan usaha saya menghubunginya telefon bimbitnya juga gagal,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Loh, dia menyedari kehilangan isterinya selepas melihat aplikasi WhatsApp wanita itu yang kali terakhir aktif pada 4 Januari lalu.

Loh berkata, dia kemudian menghubungi beberapa rakan isteri dan pengasuh anaknya untuk mengesan isteri sebelum diberitahu bahawa wanita itu ada mengirim wang sebagai bayaran asuhan.

“Pengasuh itu menghantar resit bayaran yang diberikan isteri. Berdasarkan resit, kiriman wang itu dibuat dari Laos.

“Saya tidak tahu kenapa isteri berada di sana kerana dia beritahu mahu ke Taiwan. Saya bimbang dia dilarikan kerana telefon bimbitnya sudah tidak dapat dihubungi lagi sehingga kini,” katanya.

Berikutan itu, Loh membuat laporan mengenai kehilangan isterinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selain melaporkan kepada pihak kedutaan Malaysia di Laos.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, pihaknya sudah berhubung dengan pihak kedutaan di negara berkenaan dan mereka sedang berusaha mengesan mangsa.

Katanya, pihak kedutaan sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan berusaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas atau hilang.

“Apa saja kes membabitkan rakyat Malaysia di luar negara, memang kita akan merujuk dengan pihak kedutaan dan mereka memberikan kerjasama selain membantu menyelesaikannya.

“Termasuklah kes rakyat Malaysia yang jadi mangsa pemerdagangan manusia. Pihak kedutaan yang bekerjasama dengan pihak kerajaan dan pihak berkuasa negara terbabit untuk selamatkan mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast