Mangsa, Choo Wei Mun (kanan) bercakap pada sidang media berkenaan mangsa sindiket pemerdagangan manusia luar negara di Petaling Jaya, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2024.

PETALING JAYA – Seorang lelaki menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ‘KK Garden’ selepas rambang mata apabila dijanjikan bayaran mata wang kripto 4,000 USDT (kira-kira RM18,000) untuk bekerja selama empat hari di Hong Kong.

Lelaki berusia 30 tahun itu kini dipercayai dikurung dan dipaksa bekerja dengan sindiket terbabit dan masih terperangkap di kawasan Myawaddy, sempadan Thailand-Myanmar, sejak bulan lalu.

Perkara itu diketahui selepas adik lelaki mangsa, Choo Wei Mun, 27, melihat perbualan abangnya di aplikasi WhatsApp melalui tablet lelaki itu yang ditinggalkan di rumah keluarga di Segambut, Kuala Lumpur.

Menceritakan kejadian, Choo berkata, abangnya meninggalkan rumah pada 13 Disember lalu dengan memberitahu keluarga mahu ke Johor Bahru selama tujuh hari.

“Selepas seminggu, abang tidak pulang ke rumah dan keluarga cuba menghubunginya namun gagal. Saya berhubung dengan teman wanita abang sebelum diberitahu abang sebenarnya ke Bangkok, Thailand, untuk bekerja.

“Sejak itu, abang sudah tidak boleh dihubungi lagi. Saya kemudian memeriksa barangan peribadi abang sebelum menemui tabletnya yang mempunyai WhatsApp Web dan dapat membaca perbualan abang bersama rakannya.

“Abang mahu meminjam wang 31,000 USDT (RM140,000) daripada rakannya itu untuk membayar tebusan kepada sindiket bagi membolehkan dia pulang ke Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Cabang Keadilan Segambut, Deric Teh dan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Choo berkata, dia turut menghubungi abangnya menerusi aplikasi WhatsApp sebelum diceritakan oleh abangnya bahawa dia dibawa ke Myawaddy dari Bangkok oleh sindiket penipuan pekerjaan.

Berikutan bimbang keselamatan abangnya itu, Choo tampil membuat laporan polis dan meminta bantuan daripada MHO untuk menyelamatkan abangnya.

“Saya merayu bantuan pihak berkuasa dan MHO untuk membawa abang saya pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat,” ujarnya.

Sementara itu, Daniel berkata, pihaknya akan berusaha menyelamatkan mangsa dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara berkenaan, pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, MHO akan berbincang dengan mangsa mengenai jalan penyelesaian bagi membawanya pulang dan perlu melihat kepada situasi yang sesuai bila mangsa boleh diselamatkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast