Tiga lelaki bertindak mencuri peti sejuk beku dengan menaiki dua buah motosikal di Sungai Petani, Kedah semalam.

SUNGAI PETANI – Cubaan tiga lelaki melarikan sebuah peti sejuk beku milik seorang peniaga di Kampung Telok, Sungai Jagung di sini gagal selepas seorang daripada mereka diberkas semalam.

Dalam kejadian pukul 11.40 pagi, tiga lelaki tersebut dilihat mengeluarkan peti sejuk beku dari sebuah dewan terbuka dan berpagar di kampung berkenaan sebelum melarikannya menaiki dua buah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, peniaga berusia 37 tahun itu menyedari kejadian tersebut selepas dihubungi rakannya untuk mendapatkan pengesahan sama ada lelaki itu mengupah orang luar mengeluarkan peti sejuk terbabit.

“Bagaimanapun, peniaga berkenaan menafikan perkara tersebut sebelum bergegas ke lokasi bagi mendapatkan gambaran sebenar.

Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Ketika dalam perjalanan, lelaki itu terserempak dengan tiga suspek yang sedang membawa peti sejuk beku terbabit menaiki dua buah motosikal.

“Peniaga itu kemudian berjaya menahan seorang suspek manakala dua lagi telah melarikan diri selain meninggalkan peti sejuk beku itu di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek berusia 43 tahun yang ditahan itu merupakan penganggur selain mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kita juga sedang mengesan dua lagi suspek yang turut terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.  – MalaysiaGazette