Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Badan Kawal Selia Ekonomi Gig demi menjaga kebajikan penggiat ekonomi gig, terutama penggiat p-hailing.

Dalam kenyataan hari ini, persatuan itu turut mengesa kerajaan mengambil langkah jangka pendek mengenai isu terkini yang sedang dihadapi penunggang p-hailing, terutama berkaitan pengurangan kadar bayaran upah.

“Kami menyeru kerajaan mengambil tindakan dan campur tangan dalam isu berkaitan p-hailing, hanya pihak kerajaan boleh merangka dan mengeluarkan polisi atau garis panduan meliputi keseluruhan ekosistem ekonomi gig p-hailing,” menurut persatuan itu.

Kenyataan itu turut menggesa syarikat perkhidmatan p-hailing GrabFood Malaysia mengembalikan kadar bayaran upah asal kepada penunggang secara serta-merta, menggantikan kadar upah baharu yang dilihat berkurangan secara drastik.

Menurut persatuan itu keputusan penurunan kadar bayaran upah berkenaan dibuat Grabfood secara tergesa-gesa tanpa berbincang bersama penunggang, dan ia disifatkan sebagai tidak menghormati perbincangan berkaitan hal ini bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Isu ini pernah disuarakan terus kepada Perdana Menteri pada sesi Temu Anwar di Petaling Jaya, malah perbincangan dengan semua syarikat penyelia p-hailing di Malaysia bersama Perdana Menteri, Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Manusia dan Menteri Komunikasi juga telah diadakan di Pejabat Perdana Menteri.

“Ketika itu semua syarikat penyelia termasuk Grabfood bersetuju mengkaji semula kadar upah diterima penunggang mereka, namun amat mengecewakan isu ini masih berlaku malah kadar upah yang diberikan kini sangat rendah selain kaedah pengiraan kadar bayaran juga tidak jelas,” menurut persatuan itu. – Bernama