Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rakyat akan semakin terbeban sekiranya harga gula naik di pasaran.

Aktivis Politik, Shahir Adnan berkata, berdasarkan laporan, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencadangkan supaya harga gula peket sekilogram dinaikkan kepada RM3.85, berbanding RM2.85 pada ketika ini.

Ini bermakna, katanya, harga akan naik sebanyak 35 peratus sekiranya ia dilaksanakan.

“MSM memperjelaskan bahawa kenaikan harga ini perlu dipertimbangkan kerana kos operasi telah meningkat ekoran pelbagai faktor global, malah pihaknya kini beroperasi dalam kerugian.

“Untuk makluman, MSM mengendalikan perniagaan gula FGV Holdings Berhad (dahulunya dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Berhad). Ia mengeluarkan, memasarkan dan menjual produk gula bertapis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shahir, berdasarkan laporan tahunan kewangan 2023, MSM mengalami kerugian hampir RM200 juta.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah alasan untuk menaikkan harga gula hingga memberi impak yang terus kepada pengguna dan kesan tidak langsung terhadap harga makanan serta minuman.

“Harus diingat pada 25 Mei tahun lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan kerajaan membenarkan MSM mengeluarkan gula putih bertapis jernih yang harganya tidak dikawal kerajaan, sebaliknya ditentukan pasaran.

“Kerajaan dan MSM sewajarnya memikirkan kesan langsung kenaikan harga gula kepada rakyat,” ujarnya.

Shahir Adnan

Tambah Shahir, adalah dibimbangi bahawa dengan kenaikan harga gula, permintaan di dalam negara bakal berkurang, lantaran itu gula akan dieksport keluar secara besar-besaran.

Pada waktu itu, dengan bilangan yang kurang, harga gula akan kekal mencanak naik hingga membebankan rakyat, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast