Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hadir ke mahkamah bagi sebutan semula kes yang didakwa atas dua tuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. Foto QURRATU AINI, 4 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Selayang diperdengarkan bagaimana Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor memfailkan notis usul untuk menggantung prosiding hasutan dihadapinya pada saat akhir.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Masri Mohd Daud, walaupun Menteri Besar Kedah itu mempunyai masa lebih enam bulan namun permohonan pemindahan kes difailkan pada saat akhir ketika tarikh bicara bermula.

Tambah beliau, Muhammad Sanusi telah didakwa pada Julai 2023 namun tiada sebarang permohonan kes difailkan.

“Tindakan ini yang dilakukan pada saat akhir seolah-olah menunjukan tertuduh mahu lengahkan waktu perbicaraan. Tarikh bicara juga sudah dipersetui oleh kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan pada masa itu.

“Sejak didakwa pada 18 Julai 2023 hingga pemfailan 11 Januari tahun ini, tidak ada permohonan pun untuk pemindahan kes difailkan tertuduh.

“Ini menunjukan tertuduh tidak hormat tarikh bicara dipersetujui. Malah pemfailan notis di Mahkamah Tinggi Shah Alam bukan alasan untuk tangguh bicara di Mahkamah Sesyen ini,” katanya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Muhammad Sanusi yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berdepan pertuduhan menghasut berhubung tindakan Sultan Selangor melantik Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar.

Beliau juga didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung titah Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Pemimpin tertinggi Pas itu akan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut Masri, perbicaraan berprofil tinggi seperti yang dihadapi Menteri Besar Kedah itu akan mendapat perhatian umum dan ia tidak sepatutnya dilengahkan.

“Kes ini menyentuh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di Malaysia. Justeru, tiada sebab yang munasabah untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen ditangguhkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi memohon notis usul untuk memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Berikutan itu beliau memohon diberi kebenaran penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen hingga permohonan pemindahan kes diputuskan Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan hasutan dihadapi Muhammad Sanusi sepatutnya bermula hari ini.

Bagaimanapun peguam mewakili Muhammad Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu, permohonan notis usul dibuat setelah mengkaji dokumen diserahkan pihak pendakwaan.

Ia termasuk yang berkait dengan titah Sultan Selangor dan fakta kes yang membabitkan Menteri Besar.

Nor Rajiah menetapkan 2 Februari depan untuk keputusan permohonan pembelaan bagi menggantung prosiding perbicaraan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mungkin TPR beremosi tinggi sehingga mengatasi ilmu profession berkaitan urusan mahkamah. SESUATU peraturan yang dibenarkan oleh Hakim seharusnya diterima dengan integrity. TPR tidak perlu mempertikai secara songsang atau beramal secara luar tabie.
    Jika TPR merasakan ini teramat penting dan perlu disegerakan maka buat permintaan dan usual. TPR tidak perlu mendakwa perbicaraan di medium sosial. Saya nasihatkan TPR lebih bertenang.

Comments are closed.