etua jurulatih Bahrain Juan Antonio Pizzi dan pemain Bahrain Ali Madan bercakap pada sidang media Pra-Perlawanan bagi Kumpulan E, Malaysia menentang Bahrain sempena Piala Asia 2023 di Pusat Media Utama hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

DOHA – Bahrain menjangkakan pertarungan sengit dari Malaysia menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada perlawanan kedua Kumpulan E dalam saingan Piala Asia 2023 di Stadium Jassim bin Hammad, esok.

Ketua jurulatih skuad Dilmun Warriors, Juan Antonio Pizzi berkata walaupun mencatat rekod baik menentang Harimau Malaya, Bahrain tidak akan mengharungi perlawanan yang mudah kerana kedua-dua pasukan mempunyai matlamat yang sama untuk layak ke pusingan 16 terbaik.

Bagaimanapun, pengendali berusia 55 tahun dari Argentina itu, yang membimbing Chile merangkul kejuaraan Copa America pada 2016, berkata pasukannya tidak mencari sebarang keputusan selain kemenangan ke atas Malaysia kendalian Kim Pan Gon.

“Bagi saya, tidak kira apa keputusan perlawanan sebelum ini antara kami…kami di sini hanya tumpu untuk mendapatkan tiga mata. Kami sudah ada rancangan dan pemain tahu mereka perlu memberikan segalanya.

“Lebih banyak gol yang kami jaringkan dalam perlawanan esok, semakin baik keadaan kami (dalam usaha untuk layak ke pusingan 16),” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas jurulatih Arab Saudi itu berkata kekalahan 1-3 pasukannya kepada Korea Selatan dalam perlawanan pembuka kumpulan Isnin lalu memberikan pengajaran berguna menjelang perlawanan esok.

Beliau berkata pasukannya telah mengkaji kemampuan skuad Harimau Malaya berdasarkan dua perlawanan terakhir mereka masing-masing menentang Syria dan Jordan.

Sementara itu, pemain sayap, Ali Madan berkata persiapan pasukan untuk berdepan Malaysia berjalan lancar dan berharap nasib akan menyebelahi mereka dalam usaha mereka untuk lolos  ke peringkat kalah mati.

“Kami fokus untuk menang sama seperti tumpuan menjaringkan lebih banyak gol.

“Setelah menganalisis pasukan Malaysia, kami tahu mereka mempunyai pemain yang sangat baik dan pantas. Perlawanan menentang Jordan sepatutnya menjadi pengajaran berharga bagi mereka (menjelang perlawanan esok),” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Sebagai rekod, Malaysia tewas kepada Bahrain dalam tiga pertemuan sejak 2013 dengan pertemuan terakhir menyaksikan Bahrain menang 2-1 dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2022.

Perlawanan esok adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan di pusingan akhir Piala Asia.

Bahrain kini berada di tempat ke-86 dunia manakala Malaysia di tempat ke-130. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast