Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.

KUANTAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan beberapa anggotanya telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung siasatan “kartel perolehan” melibatkan kerja-kerja pembinaan di sebuah kem bernilai lebih RM9 juta.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata SPRM juga telah mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan kes yang difahamkan membabitkan projek pada tahun lepas, dan beliau menegaskan TLDM memberikan kerjasama penuh kepada siasatan terbabit.

“Biar mereka (SPRM) teruskan kerja dan kita tunggu sehingga keputusan siasatan nanti. TLDM tidak berkompromi dengan mana-mana anggotanya yang terlibat dengan salah laku dan mereka seharusnya sedar tindakan yang akan dihadapi jika melakukan kesalahan,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Upacara Penamaan dan Pentauliahan Patrol Craft (PC) TLDM iaitu KD Sri Sabah dan KD Sri Sarawak di jeti Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini hari ini.

Ketika ditanya jika TLDM akan melakukan siasatan dalaman berhubung perkara itu, Abdul Rahman berkata pihaknya akan menunggu laporan daripada SPRM terlebih dahulu sebelum memutuskan perkara berkenaan.

Semalam, SPRM mengesahkan penahanan tiga lelaki berumur antara 28 hingga 47 tahun di Pejabat SPRM Johor untuk membantu siasatan melibatkan kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang “kartel perolehan” kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di kem berkenaan.

Pembayaran penuh bagi projek itu difahamkan telah dibuat, namun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Johor Bahru di Johor hari ini membenarkan permohonan reman tiga lelaki berkenaan selama tujuh hari hingga 25 Jan ini bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast