KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 3.4 peratus pada suku tahun keempat 2023, berbanding 3.3 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Berdasarkan anggaran awal itu, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sederhana 3.8 peratus pada tahun 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan 8.7 peratus pada tahun 2022.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, sektor perkhidmatan menjadi peneraju prestasi ekonomi pada suku tahun ini dengan semua sektor lain mencatat pertumbuhan positif.
Sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 4.7 peratus (ST3 2023: 5.0%) pada suku tahun keempat 2023 disokong oleh subsektor perdagangan borong & runcit, pengangkutan & penyimpanan dan perkhidmatan perniagaan.
Sektor perlombongan & pengkuarian berkembang 3.7 peratus (ST3 2023: -0.1%) pada suku tahun keempat 2023 dan pertumbuhan ini didorong oleh
peningkatan dalam semua aktiviti terutamanya gas asli dan minyak mentah & kondensat.
Sektor pembinaan menyederhana kepada 2.5 peratus (ST3 2023: 7.2%) pada suku tahun ini dipengaruhi oleh subsektor kejuruteraan awam
dan bangunan kediaman.
Manakala sektor pertanian meningkat kepada 1.2 peratus (ST3 2023: 0.8%) pada suku tahun keempat 2023, hasil daripada peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit.
Sementara itu, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan marginal 0.1 peratus (ST3 2023: -0.1%) pada suku tahun ini.
Pertumbuhan sektor ini disokong oleh pembuatan berasaskan produk minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logamyang direka.
Walau bagaimanapun, produk elektrik, elektronik & optikal serta produk petroleum, kimia, getah & plastik merosot pada suku tahun ini.
Sehubungan itu, prestasi perdagangan Malaysia juga menunjukkan aliran menurun pada tahun 2023, seiring dengan penyusutan eksport 8.0 peratus (2022: 24.9%) dan penurunan sebanyak 6.4 peratus (2022: 31.0%) dalam aktiviti import.
Oleh itu, eksport bersih mengalami penurunan 16.4 peratus (2022: 1.0%) dengan nilai keseluruhan RM214.1 bilion.
Selain itu, sektor embinaan meningkat daripada 5.0 peratus pada tahun 2022 kepada
5.8 peratus pada tahun 2023.
Sektor perlombongan & pengkuarian juga meningkat sebanyak 1.0 peratus (2022: 2.6%) dan sektor pertanian merekodkan pertumbuhan marginal 0.5 peratus (2022: 0.1%). – MalaysiaGazette