Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) digesa untuk memastikan kualiti perkhidmatan bekalan air ditingkatkan susulan pengumuman kenaikan tarif domestik.

Menerusi satu kenyataan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Forum Air berkata, pelarasan tarif air itu adalah satu keperluan untuk pelaburan jangka masa panjang memandangkan kos perkhidmatan yang semakin bertambah daripada pelbagai sudut merangkumi aspek-aspek penyenggaraan dan pembaikpulihan.

Wakilnya, Amlir Ayat berkata, walaupun sebahagian pengguna merasakan tindakan itu tidak sepatutnya berlaku ketika mereka sedang menghadapi cabaran ekonomi namun ada yang bersetuju mengenai pelarasan tersebut memandangkan kos rawatan yang semakin meningkat.

”Bagaimanapun, mereka juga mahu kerajaan menjamin ia akan meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air.

”Terdapat juga rakyat berpendapat kenaikan tarif air itu boleh menggalakkan rakyat Malaysia untuk lebih berhemah dalam penggunaan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Amlir, hal itu disebabkan kadar penggunaan air rakyat Malaysia adalah sebanyak 237 liter per kapita sehari melebihi kadar saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 180 liter per kapita seorang sehari.

Tambah beliau, rakyat harus memainkan peranan mereka dengan dalam menyuarakan sebarang kelemahan atau kepincangan mengenai kualiti perkhidmatan bekalan air kepada pihak operator termasuk insiden-insiden kerosakan infrastruktur seperti kerosakan paip dan pencurian air.

Katanya lagi, pihak SPAN juga harus memastikan syarikat-syarikat pembekal air akan terus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan bekalan air kepada rakyat.

Beliau berkata, langkah itu termasuk pemantauan secara aktif dan serius berdasarkan kriteria-kriteria KPI yang ditetapkan oleh SPAN serta tindakan segera dan wajar terhadap mana-mana operator air yang gagal mematuhinya.

”Penggunaan air dengan lebih berhemah termasuk mengelakkan pembaziran juga seharusnya menjadi amalan utama rakyat Malaysia demi mencapai kadar penggunaan air yang mampan.

”Tanggungjawab dalam mencapai tahap kelestarian perkhidmatan air negara yang optimum perlu dipikul oleh semua pihak dengan memainkan peranan secara kolektif dan aktif.

”Air adalah keperluan asas manusia yang perlu dijaga dan dilindungi dengan sifat rasa tanggungjawab sepenuhnya,” ujarnya.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh SPAN mulai 1 Februari 2024, tarif air domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan naik secara purata sebanyak 22 sen untuk setiap meter padu. – MalaysiaGazette