KUALA LUMPUR – Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga bagi menganjurkan wacana intelek berhubung hal ehwal pembangunan ekonomi dan penjagaan kebajikan kaum bumiputera.
Pengerusi Inisiatif Bina Bangsa (BINA), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penganjuran tersebut bagi memberikan cadangan serta pandangan konstruktif memastikan masa depan komuniti bumiputera terjaga.
Lima pertubuhan bekerjasama anjur Wacana Intelek untuk mengasah minda kritis, membentuk budaya ilmu serta pandangan konstruktif untuk memastikan masa depan komuniti bumiputera terjaga.
“Wacana Intelek akan memberi ruang kepada para pejuang masyarakat menyumbang idea untuk membina negara bangsa dan memperbaiki struktur, sistem dan dasar negara.
“Tumpuan utama Wacana Intelek di peringkat permulaan adalah dalam perkara berkaitan ekonomi, pendidikan, sosial dan penerapan semangat nasionalisme di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara NGO yang mengambil bahagian adalah Inisiatif Bina Bangsa (BINA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Persatuan Masa Depan Usahawan Melayu (MAFEA).
Untuk kali pertama penganjurannya, Waca Intelek akan diadakan pada 28 Januari depan dengan memanggil Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang baharu, Syed Hasan Syed Ali sebagai ahli panel.
Wacana Intelek akan diadakan Dewan Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling dengan tema “Pembangunan Ekonomi Bumiputera Di Bawah Kerajaan Madani”.
Dalam pada itu, siri Wacana Intelek juga bertujuan mempertingkat kerjasama dan jaringan antara institusi, pertubuhan, dan individu yang berminat untuk menyumbang kepada hal ehwal pembangunan bumiputera.
“Dalam setiap siri Wacana Intelek, beberapa orang tokoh dan pakar akan dijemput untuk membentang pandangan mereka dan para peserta juga akan dijemput untuk berdialog dengan tokoh-tokoh jemputan. Penyertaan adalah terbuka kepada semua,” kata Wan Saiful lagi. – MalaysiaGazette