GEORGE TOWN – Kegiatan sindiket perjudian dalam talian yang mengupah warga Nepal sebagai operator untuk mempromosi aktiviti haram itu terbongkar selepas empat lelaki warganegara yang sama diberkas polis semalam.
Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menyerbu sebuah kediaman yang dijadikan pusat panggilan di Tanjong Tokong di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, serbuan pukul 5 petang itu membawa kepada tangkapan empat lelaki Nepal berusia lingkungan 27 hingga 32 tahun.
Jelas Razlam, hasil siasatan mendapati sindiket menyasarkan kaki judi dari negara sendiri selain menggunakan aplikasi Facebook untuk mempromosikan kegiatan mereka.
“Pelbagai jenis perjudian dalam talian yang dipromosikan kepada pemain menggunakan komputer serta telefon bimbit.
“Setiap seorang warga Nepal itu dibayar upah antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap bulan dan kesemua mereka mempunyai pasport.
“Siasatan juga mendapati sindiket ini aktif sejak tiga bulan lalu dan mampu mengaut keuntungan antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut hari ini.
Turut dirampas dalam serbuan tersebut, tiga buah komputer riba, 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti tersebut.
Tambah Razlam, kesemua tangkapan direman selama tiga hari sehingga 21 Januari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – MalaysiaGazette