KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini memberi galakan kepada semua kakitangan di ibu pejabat dan syarikat subsidiari supaya menyarung jersi Harimau Malaya sebagai tanda sokongan kepada pasukan negara yang sedang beraksi dalam Piala Asia 2023.
Inisiatif itu dapat menyemarakkan semangat kesukanan dan memberi sokongan padu kepada Skuad Harimau Malaya.
Idea untuk menyarankan staf memakai jersi Harimau Malaya itu secara tidak langsung dapat menghebahkan kepada lebih ramai omengenai penyertaan Malaysia di Piala Asia, katanya dalam satu kenyataan.
Hadir sama memeriahkan promosi itu ialah Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin bersama staf NAFAS di ibu pejabat.
Momen itu pastinya akan menjadi kenangan kepada staf NAFAS serta memberi pengalaman yang baharu kerana ini merupakan julung kalinya pekerja diberi kelonggaran untuk berpakaian jersi ke pejabat.
“Lupakan kekalahan skuad Kebangsaan pada aksi pertama dalam Kumpulan E menentang Jordan pada Selasa lalu.
“Ayuh kita doakan Harimau Malaya terus berjuang dalam perlawanan esok menentang Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, Doha, Qatar,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette