Abd. Hadi Abd. Raman.

KUALA LUMPUR – Bakal jemaah haji bagi tahun 1445H/2024M berpeluang menikmati diskaun sebanyak RM2,500 menerusi tawaran disediakan MKM Ticketing Travel & Tours (MKM) untuk menunaikan rukun islam kelima di Tanah Suci.

Pengarah Strategik MKM, Abd. Hadi Abd. Raman berkata, diskaun itu ditawarkan kepada jemaah yang memilih perkhidmatannya tanpa mengira jenis pakej.

Katanya, itu antara kelebihan ditawarkan MKM kepada jemaah terpilih tahun ini termasuk pemeriksaan kesihatan serta pemberian suntikan vaksin.

“Sebelum ini kita tidak tawarkan diskaun kepada jemaah haji, tetapi pada tahun ini kita ambil inisiatif bagi manfaat kad perubatan termasuk diskaun sebanyak RM2,500.

“Itu merupakan antara tarikan yang kita tawarkan kepada bakal jemaah bagi menarik perhatian mereka untuk melantik MKM sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) kali ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang, hari ini.

MKM merupakan antara pempamer pada Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH) Kali Ke-2 yang diadakan selama tiga hari sehingga Ahad ini.

Mengulas lanjut, Abd. Hadi berkata, pihaknya turut menawarkan pakej haji berkonsep ‘Rahmah’ yang ditawarkan di bawah harga RM50,000 untuk jemaah haji terpilih.

“Dalam suasana mencabar dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, kerajaan mensyaratkan syarikat PJH menawarkan pakej haji ekonomi bawah RM50,000 bagi memberi pilihan kepada bakal haji daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Bagi menyahut inisiatif itu, MKM turut menyediakan pakej Rahmah menerusi Pakej Haji Salam yang ditawarkan serendah RM49,800 bagi bilik berlima,” ujarnya.

Tambah beliau, sejumlah 25 PJH turut menyediakan pakej itu bagi memberi ruang kepada bakal jemaah haji terpilih melihat tawaran tersebut sebelum memutuskan syarikat pilihan mereka.

“Sebenarnya, pakej ditawarkan bukan semata-mata untuk meriah keuntungan, sebaliknya ia adalah tanggungjawab kami kami memberikan layanan terbaik kepada tetamu Allah yang terpilih itu,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai unjuran  pihaknya berhubung jumlah jemaah haji yang akan menggunakan pakej syarikat itu, Abd. Hadi menjangka bilangannya 1,200 jemaah pada tahun ini.

Ujarnya, angka itu dilihat mampu dicapai menerusi pakej Rahmah dan berbaloi ditawarkan pihaknya, sekali gus berupaya menarik minat jemaah untuk menggunakan perkhidmatan disediakan. – MalaysiaGazette