Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoal tahap kesetiaan masyarakat India dan Cina di negara ini tidak dipersetujui Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, keputusan itu dibuat selepas perkara berkenaan dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, malam tadi.

Bagaimanapun Dominic berkata, kenyataan Dr Mahathir itu tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada PN memandangkan beliau tidak menganggotai gabungan berkenaan.

“Gerakan ketika mesyuarat Majlis Tertinggi PN tegaskan kita tak boleh terima, tidak puas hati dan kecewa dengan kenyataan Tun M (Dr Mahathir),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan TV satelit India, Thanthi TV sebelum ini, Dr Mahathir dilapor berkata, beliau berpandangan kaum India dan Cina di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana masih mahu mengaitkan identiti diri mereka dengan negara asal masing-masing.

Kenyataan beliau itu mendapat kritikan daripada beberapa pemimpin politik dan aktivis di Malaysia.

Dalam pada itu, Dominic berkata, Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyuarakan pendirian tidak bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir itu sambil menyifatkan ia sebagai tidak sesuai.

“Kita hanya dapatkan nasihat Tun M untuk kebaikan di empat negeri (diterajui PN) kerana pengalaman dan ‘network’ (rangkaian) beliau memang baik dan boleh membantu keempat-empat negeri diterajui PN. Kita hanya guna beliau punya ‘strength’ (kekuatan) tetapi kenyataannya kita tak setuju,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast