PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

TANAH MERAH – Polis menahan dua lelaki bersama minyak masak dan gula yang cuba diseludup ke negara jiran Thailand, semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supt Mohd Haki Hasbullah berkata, anggota unit kereta peronda (MPV) menahan kedua-dua penganggur berusia 20 dan 30 tahun di Kampung Batu Gajah pada 9 malam.

“Kedua-dua suspek ditahan ketika berada dalam sebuah kereta dalam mencurigakan.

“Pemeriksaan menemukan 30 kotak minyak masak peket seberat 510 kilogram (kg) dan 720kg gula putih bernilai RM5,500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati barang kawalan itu cuba di seludup keluar melalui sempadan Malaysia-Thailand berdekatan daerah ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga 23 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tanah Merah untuk tindakan susulan,” katanya. – Bernama