DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyertai aktiviti kayuhan sempena Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN melibatkan pelbagai jabatan kerajaan dan agensi swasta.

KANGAR – Program Kayuhan Sejuta Kasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi medium yang dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat ke arah pembentukan gaya hidup cergas, sihat dan cerdas.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, program yang julung kali dianjurkan PTPTN bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu juga boleh mengeratkan silaturrahim antara pemimpin dan masyarakat di Perlis secara keseluruhannya.

“Melalui aktiviti berbasikal seumpama ini juga, ia secara tidak langsung dapat membantu masyarakat Perlis sekitarnya melalui penyampaian sumbangan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media sempena pelepasan program kayuhan sejuta kasih di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan menyertai kira-kira 100 peserta program yang turut disertai Norliza, Pengurusan PTPTN, Pengarah Pejabat PTPTN Negeri, agensi kerajaan dan swasta.

Norliza berkata program yang mendapat perkenan Raja Muda Perlis itu merupakan antara inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN kepada masyarakat dalam usaha membantu golongan memerlukan selain mempromosikan Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024.

“Program ini telah mendapat kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan antaranya Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.

DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin
Jamalullail berkenan mengurniakan sumbangan kotak makanan kepada salah seorang asnaf.

“Turut terlibat Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Jabatan Penerangan Negeri Perlis, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perlis, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis Volunteer Action Community (PVAC) serta pelbagai pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, semasa program kayuhan itu, Raja Muda Perlis turut menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 18 keluarga asnaf dan PTPTN pula menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime  kepada 24 anak yatim dengan masing-masing menerima RM100 setiap seorang dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.

“Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) juga tidak ketinggalan menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian berjumlah RM5,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis.

“PTPTN terus prihatin membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang dengan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 kepada Rumah Seri Kenangan Kangar,” katanya.

Norliza berkata, penyampaian sumbangan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin dengan jumlah keseluruhan bernilai RM15,000 turut diadakan pada program berkenaan.

Beliau berkata, sumbangan itu diberikan kepada 30 pelajar miskin tegar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Arau dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dengan setiap pelajar itu menerima wang tunai berjumlah RM500 dan peranti PTPTN.

“Semoga dengan pemberian sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang memerlukan selain menjadi platform pendedahan kepada masyarakat mengenai pentingnya bersukan untuk kualiti hidup yang lebih sejahtera.

“PTPTN juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan strategik PTPTN dalam menjayakan program ini,” katanya.

DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan bergambar bersama penerima sumbangan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin.

Sementara itu, seorang pelajar tahun empat jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik UniMAP yang menerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin itu, Muhammad Haikal Hazmi, 24, berkata beliau seronok selepas terpilih sebagai penerima bantuan pengajian berkenaan.

“Saya berterima kasih banyak kepada KPT dan PTPTN kerana saya terpilih menerima sumbangan ini. Sumbangan yang diberikan dapat memberikan manfaat dari segi perbelanjaan pengajian saya di UniMAP seperti membeli barangan keperluan asas, membeli buku dan boleh digunakan sebagai duit poket,” katanya.

Pelajar tahun tiga jurusan Sarjana Muda Teknologi Maklumat, UiTM Arau yang turut menerima bantuan pengajian itu Mohamad Noor Al Amin Mohd Shahafoddin, 24, pula berkata, beliau berasa teruja menerima sumbangan itu yang dapat membantu meringankan beban kewangannya dalam memenuhi keperluan pembelajaran.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PTPTN kerana memilih saya sebagai penerima sumbangan ini dan ia bermanfaat kepada pelajar terutama dalam waktu semester akhir dan sumbangan ini dapat membantu ringankan beban kewangan, menampung perbelanjaan harian serta digunakan untuk menyiapkan tugasan kuliah,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar tahun tiga jurusan Diploma Pengajian Perniagaan, PTSS Nursazalina Gazali, 21, pula berkata bantuan itu dapat mengurangkan beban ibu bapanya bagi menanggung pengajiannya di politeknik berkenaan serta digunakan untuk bayaran yuran peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).

“Sebagai pelajar politeknik, saya sangat bertuah dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan ini. Saya terkejut dipilih sebagai penerima bantuan PTPTN. Ia juga dapat meringankan kos pengajian semester akhir bagi menyiapkan projek yang memerlukan kos yang agak tinggi,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast