KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket perlombongan wang digital (Bitcoin) didalangi warganegara China dalam satu Operasi Khas yang dijalankan di ibu negara semalam.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10 malam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Katanya, sindiket dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu serta didalangi dua lelaki warga China ini turut dipercayai menjana pendapatan sekitar RM100,000 sebulan.
“Serbuan dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan pihaknya sebulan berkaitan kegiatan terbabit.
“Maklumat yang diperoleh kemudian membawa kepada serbuan di premis berkenaan dan menahan dua lelaki warga China berumur 28 dan 33 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis dan juruteknik membaik pulih mesin bitcoin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dua suspek terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
Tambahnya, siasatan yang dijalankan mendapati dokumen perjalanan asal mereka dipercayai disimpan oleh pihak ejen.
“Serbuan turut merampas wang tunai berjumlah RM12,600.30 unit mesin bitcoin, dua unit mesin penyejuk bitcoin, dua komputer, satu komputer riba dan dua set peralatan ujian,” ujarnya.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram di premis tersebut.
Jelas beliau, sindiket dikesan berselindung di sebalik penggunaan papan tanda perniagaan tinted kenderaan bagi mengelakkan aktiviti merteka dikesan pihak berkuasa.
“Sasaran bagi pelaburan bitcoin ini adalah warga China dan penduduk tempatan selain sindiket turut menyediakan perkhidmatan membaiki dan servis mesin bitcoin dengan harga bayaran antara RM100 hingga RM200,” katanya.
Tegasnya, kedua-dua suspek ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), katanya. – MalaysiaGazette