Bella

JOHOR BAHRU – Keputusan ujian DNA penemuan rangka manusia tidak sempurna yang dikaitkan dengan kematian Bella dijangka diketahui Rabu ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah.

“Biasanya prosedur ambil masa tiga minggu tetapi disebabkan kes ini kita minta dipercepatkan. Berkemungkinan kita akan memperoleh keputusan ujian DNA itu pada Rabu ini,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan ibu, kakak dan bapa saudara Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmilah Samsusah, 32, telah dipanggil ke Ibupejabat polis Daerah Batu Pahat pagi ini.

Pada 14 Disember 2023, Bella yang keluar rumah bersama teman lelakinya didapati hilang.

Semalam dilaporkan teman lelaki kepada Mila yang juga seorang ibu tunggal itu antara tiga individu yang direman bagi membantu siasatan dalam penemuan rangka manusia dalam sebuah rumah sewa terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kurier itu direman bersama dua lagi suspek masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Ketiga-tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keluarga Bella belum dipanggil polis untuk pengecaman barang kes