Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Kilometer 7, Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Kilometer 7, Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Setiawangsa di sini hari ini.

Komander Operasi PBK II, Ahmad Idris Mohd Yusuf berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran melibatkan sebuah kereta pukul 7.05 malam.

“Sepasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Setapak bersama jentera FRT-1 dan EMRS-1 dengan kekuatan lapan anggota lain-lain pangkat digerakkan ke tempat kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 7.15 malam, kebakaran melibatkan sebuah kereta MPV jenis Renault terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Idris, tiada mangsa yang terlibat dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 7.35 malam tadi.

“Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette