Steven Sim (dua dari kiri) dan Adly (empat dari kanan) melancarkan Program Veteran MyWIRA di Pusat Konvensyen Spice Arena, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Kerajaan optimis inisiatif Veteran MyWIRA bukan saja mampu mewujudkan peluang pekerjaan malah boleh meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Program membabitkan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat) itu juga dijangka melahirkan 5,000 pekerja berkualiti dalam negara.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, program berkenaan diperkenalkan bagi membantu pesara tentera mendapatkan pekerjaan selepas bersara.

Katanya, ia mengguna pakai strategi pembinaan maklumat latar belakang pemohon kerja menerusi sistem MyNext oleh TalentCorp yang berfungsi sebagai pengkalan data pintar bukan sahaja bagi memadankan pekerja dengan majikan yang sesuai, malah untuk merangka perancangan latihan dan sebagainya.

“Selain itu, latihan oleh Perhebat dan dengan adanya sistem MyNext membolehkan pihak berkaitan melakukan penyesuaian terhadap program peralihan pekerjaan kepada veteran atau dalam kata lain, mampu menentukan program secara lebih khusus.

Steven Sim.

“Manakala komponen ketiga ialah industri yang mana TalentCorp akan bekerjasama dengan majikan bagi memadankan pesara tentera yang dilatih semula dengan pekerjaan berkualiti di syarikat mereka,” katanya kepada pemberita Majlis Pelancaran Program Veteran MyWIRA di Pusat Konvensyen Spice Arena di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Steven Sim berkata, selain menjadi projek rintis syarikat peneraju ekosistem semikonduktor Micron Memory Malaysia Sdn Bhd (Micron) turut menawarkan 25 peluang kerja pelbagai jawatan dengan gaji antara RM2,900 sehingga RM4,200 kepada pesara tentera.

“Jika program rintis Veteran MyWIRA ini berjaya dalam masa satu hingga dua tahun, kita sasarkan bagi memadankan pesara tentera kepada lebih 5,000 pekerjaan berkualiti setiap tahun dengan gaji yang lumayan.

“Ia membolehkan veteran kita meneruskan perkhidmatan membina negara, beralih daripada medan pertempuran kepada ekonomi,” katanya.

Adly (dua dari kanan).

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, antara 3,000 hingga 5,000 anggota tentera di seluruh negara dikesan tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas tidak lagi berkhidmat dengan ATM.

Jelas beliau, golongan tersebut berusia lingkungan usia 32 hingga 40 tahun dan bersara tanpa skim pencen.

“Jadi program ini merupakan langkah tepat kerajaan untuk membela nasib veteran ATM agar mereka dapat meneruskan kehidupan serta menyumbang negara selepas bersara,”katanya. – MalaysiaGazette