Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan UMNO Selangor tamak untuk mendapatkan jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor daripada parti sekutunya, Pakatan Harapan (PH).

Presiden UMNO itu berkata, tindakan tersebut dibuat untuk bersikap adil kepada UMNO yang mempunyai 22 bahagian, namun hanya 20 jawatan ditawarkan pada mereka.

“Tidak timbul soal tamak dalam perkara ini kerana kami ada 22 ketua bahagian. Jadi kalau ada yang dapat, dan tidak dapat, adalah lebih baik semua tidak dapat (jawatan ahli majlis PBT).

“Kita serahkan kepada Kerajaan Perpaduan di Selangor di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari untuk bersama-sama dengan kami, walaupun kami di luar PBT, kami akan tetap dukung dan menyokong program kerajaan negeri melalui PBT ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sesi Libat Urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di bangunan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri MOT, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan, beliau telah mengadakan mesyuarat malam tadi bersama 22 bahagian UMMO di Selangor di Sepang.

“Saya menghormati keputusan mereka untuk menolak 20 tempat yang telah diperuntukkan bagi menduduki jawatan ahli majlis PBT dan saya fikir keputusan itu harus dihormati.

“Mereka tidak kecil hati dan kita mahu memainkan peranan secara bebas dan tidak duduk hanya sebagai ahli di PBT,” jelasnya.

Sebelum ini, UMNO Selangor memutuskan untuk menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu kepada parti sekutunya, PH.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, keputusan itu membuktikan UMNO Selangor tidak tamak jawatan atau mendesak PH memberi jawatan kepada mereka seperti dakwaan yang tersebar.

Namun, kata beliau, UMNO Selangor mahu sebanyak 373 jawatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri tersebut diberikan kepada parti berkenaan.

Terdahulu, seorang pemimpin PH Selangor mendakwa ramai anggota gabungan itu tidak berpuas hati dengan pelbagai konsesi diberikan kepada UMNO, bekas seterunya yang kini menjadi rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan.

Pemimpin itu yang juga Exco Selangor berkata, UMNO ‘terlalu mendesak’ walaupun hanya menang dua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Bagaimanapun, Megat Zulkarnain turut melahirkan rasa terkilan kerana ketika rundingan jawatan ahli majlis PBT itu dibuat dan sehari sebelum UMNO mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu, PH telah mengadakan pelantikan ahli majlis PBT berkenaan.

Menurutnya, jumlah 20 jawatan itu ditawarkan oleh kerajaan negeri dan jumlah tersebut juga sebenarnya daripada 288 kerusi ahli majlis PBT keseluruhan di Selangor. – MalaysiaGazette