Andasura Rabu

KUANTAN – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan kerajaan negeri perlu mengemukakan pelan tindakan untuk meningkatkan tahap kualiti dan perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura berkata, ia kerana kualiti dan perkhidmatan air di Pahang perlulah sejajar dengan tarif air yang akan dinaikkan menjelang bulan depan.

“Nak naik tarif air tapi kualiti perkhidmatan tidak berubah maka ini akan memberi kesan besar secara langsung kepada rakyat dan rakyat tidak akan berpuas hati.

“Contohnya di kawasan saya, ada rakyat yang tidak dapat menikmati bekalan air secara berterusan kerana tekanan air yang rendah jadi ini mengganggu kualiti kehidupan mereka.

“Mereka terpaksa mengubah rutin harian mereka, terpaksa bangun pukul 3 pagi untuk basuh kain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lebih parah katanya, rakyat terpaksa berdepan dengan isu tersebut tanpa penyelesaian atau sebarang komunikasi daripada PAIP.

Kualiti perkhidmatan air ini sangat tidak memuaskan dan tak seiring dengan keperluan untuk menaikkan tarif air, ujar Andasura lagi.

Bahkan, aduan atau komen pengguan untuk mendapatkan maklumat mengenai gangguan bekalan air tidak mendapat layanan PAIP.

Malah, panggilan di talian hotline juga tidak diangkat.

Mengulas lanjut Andasura mendakwa, masalah bekalan air di Pahang seperti tiada jalan penyelesaian selain menyusahkan dan membebani kehidupan rakyat bertahun-bertahun lamanya.

“Daripada pengalaman sendiri, pihak PAIP pernah menolak dan tidak mahu penglibatan pembangkang dalam penyelesaian isu air bersama pengguna,” ujarnya.

Sedangkan, tegas Andasura, PAIP perlu ambil maklum dan menjawab dengan segera  setiap perkara atau aduan yang dibawa oleh rakyat kepada syarikat pengurusan air tersebut.

Beliau berharap pihak pengurusan PAIP  bersikap profesional dan berlaku adil kepada semua pihak khasnya parti pembangkang yang cuba berusaha membantu rakyat. – MalaysiaGazette