Mohd Fared menyaksikan Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Perbadaban Islam Johor (PIJ), di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM hari ini.

BATU PAHAT – Rangka manusia yang tidak sempurna masih wajib diuruskan seperti yang dituntut dalam agama sekiranya ia dimiliki individu beragama Islam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, rangka manusia itu perlu dikebumikan setakat mana bahagian tubuh yang ditemui.

“Rangka manusia itu perlu disatukan walaupun tidak lengkap seperti mayat sebenar. Ia perlu disempurnakan dengan dimandikan sehingga dikebumikan, jika rangka itu milik orang Islam,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Perbadanan Islam Johor (PIJ), di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penemuan rangka manusia di rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pecah baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat pada sidang akhbarnya memaklumkan rangka manusia itu ditemui pada jam 2 petang Jumaat lalu selepas dibawa oleh salah seorang daripada tiga suspek yang dtahan susulan kes kehilangan seorang wanita bernama Mira Sharmila Samsusah atau Bella.

Bella dilaporkan hilang sejak 14 Disember tahun lalu selepas keluar untuk membasuh baju di sebuah kedai dobi, tidak jauh daripada rumahnya.

Bedah siasat ke atas rangka manusia tidak sempurna itu sudah dijalankan pada pagi Sabtu lalu di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Sampel patologi dari Jabatan Forensik HSI Johor Bahru telah dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi membuat perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengenal pasti identiti si mati. – MalaysiaGazette