Salah satu daripada 16 tanah perkuburan yang dibongkar oleh Israel

GAZA CITY – Laporan media mengesahkan askar Israel telah mengali, sekali gus memusnahkan 16 tanah perkuburan di Gaza.

Menurut CNN yang berpangkalan di Amerika Syarikat, imej satelit dan rakaman video dan foto di media sosial memaparkan kelakukan jijik yang dilakukan oleh tentera Israel.

Tentera zionis merobohkan tanah perkuburan semasa operasi darat menggunakan jentolak dan juga mengeluarkan beberapa mayat dari kubur, katanya.

Berdasarkan analisis terhadap imej dan video satelit, CNN melaporkan, bahawa Israel turut menggunakan tanah perkuburan sebagai pos tentera dan mengubah beberapa tanah kubur menjadi kawasan dataran.

Jurucakap tentera Israel turut mengesahkan kepada CNN bahawa mereka telah menggali beberapa kubur di Gaza.

Beliau mendakwa, tindakan itu dilakukan untuk menentukan sama ada tebusan Israel yang diculik semasa pencerobohan rentas sempadan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas dikebumikan di sana.

Israel turut mendakwa bahawa tanah perkuburan itu digunakan oleh Hamas untuk “tujuan ketenteraan,” dan berkata tentera Israel tidak mempunyai pilihan lain selain menyasarkan mereka.

Tentera Israel juga mengesahkan tindakan itu kepada media Anadolu yang berpangkalan di Türkiye bahawa mereka mengali kubur di Gaza untuk mengeluarkan mayat.

Mereka berhujah bahawa ini dilakukan untuk menentukan sama ada warga Israel yang dilaporkan ditahan oleh Hamas telah dikebumikan di sana.

Mereka mendakwa, maklumat menunjukkan potensi kehadiran mayat tebusan sebagai tindak balas kepada risikan kritikal atau maklumat operasi.

Pakar undang-undang yang dipetik dalam laporan itu menekankan bahawa tindakan memusnahkan tapak keagamaan seperti tanah perkuburan dan menjadikannya sasaran tentera melanggar undang-undang antarabangsa.

Tindakan Israel itu boleh dianggap sebagai jenayah perang. – Agensi