Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis tidak menerima sebarang notis pemakluman awal mengenai penganjuran dan penyerahan memorandum di Istana Negara, esok.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima maklumat yang mendakwa sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pembela Tanah Air (PETA), akan mengadakan Himpunan Rakyat dan menyerahkan memorandum pada jam 11 pagi esok di Istana Negara.

“Namun begitu, setakat ini pihak polis masih tidak menerima sebarang notis permohonan dari pihak penganjur,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Amihizam mengingatkan semua pihak supaya menghormati undang-undang dan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. – MalaysiaGazette