KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia perlu berhati-hati ketika membuat pengeluaran menerusi ATM ketika berada di luar negara,
Ia kerana pihak bank dan rangkaian antara bank mengenakan caj yang tinggi bagi setiap pengeluaran di ATM bergantung kepada destinasi.
Menurut kajian oleh Wise, rakyat Malaysia mungkin akan dikenakan caj pengeluaran ATM sehingga 14.8 peratus atau RM148 bagi setiap transaksi berjumlah RM1,000 di Argentina.
Manakala Chile pula mengenakan caj sebanyak 6.33 peratus atau RM64.80, Costa Rica (0.80%: RM36); Filipina (2.85%: RM28.50) dan negara-negara Amerika Selatan mengenakan caj antara tiga hingga tujuh peratus.
Bagi destinasi popular rakyat Malaysia seperti Australia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam caj yang dikenakan antara 1.15 hingga 2.85 peratus untuk setiap pengeluaran RM1,000.
Rakyat Malaysia yang melancong ke Jepun, Taiwan dan United Kingdom akan dicaj kurang daripada satu peratus apabila mereka menggunakan ATM di negara tersebut.
”Selain caj ATM, rakyat Malaysia di luar negara mungkin mengenakan yuran tersembunyi dalam bentuk penanda kadar pertukaran yang tidak didedahkan apabila menggunakan kad kredit atau debit.
“Yuran tersembunyi ini sering menyebabkan ramai pelancong berbelanja lebih daripada yang mereka jangkakan,” katanya dalam kenyataan.
Pengurus Negara Malaysia di Wise, Lim Paik Wan berkata, perbezaan dalam caj ATM di luar negara menekankan betapa pentingnya perancangan kewangan yang strategik bagi rakyat Malaysia.
“Mengeluarkan wang di luar negara boleh menjadi mudah, tetapi kosnya berbeza dengan ketara. Ia adalah penting bagi para pelancong untuk mengetahui bila mereka akan dikenakan yuran tersembunyi dan mempertimbangkan alternatif yang menjimatkan kos semasa berada di luar negara.
Menurutnya, antara kaedah yang boleh dipertimbangkan oleh pelancong untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu adalah dengan berhati-hati dengan caj pengeluaran di luar negara.
“Bergantung pada destinasi, transaksi ATM di luar negara boleh menyebabkan kos yang besar, terutamanya untuk jumlah yang kerap dan kecil.
”Sebagai contoh, di Argentina, pelancon yang mengeluarkan RM200 setiap hari selama seminggu akan membayar yuran RM29.60 sehari berjumlah RM207.20 untuk kesemua tujuh hari,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pelancong digalakkan untuk sentiasa membayar dalam mata wang tempatan.
Menurut beliau, mereka yang memilih untuk membayar dalam mata wang negara asalnya, seperti ringgit, boleh dicaj antara 0.5 peratus hingga dua peratus dalam yuran penukaran mata wang dinamik apabila menggunakan kad.
Lim Paik berkata, untuk mengelakkan situasi seperti ini, rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara harus sentiasa membayar dalam mata wang tempatan di destinasi yang mereka kunjungi. – MalaysiaGazette