Gambar hiasan

BALING – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori treler dalam kemalangan di Jalan Baru Kulim-Baling di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian 12.10 tengah malam tadi, mangsa Hassim Ahmad, 68, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Kuang, dekat sini, tiba di Simpang Tiga Jerai, dan mangsa dipercayai keluar dari sebelah kiri (jalan) secara mengejut untuk masuk ke kanan jalan.

Sebuah lori treler ketika itu sedang bergerak dari Kota Bharu, Kelantan untuk menghantar barang ke Pulau Pinang tidak sempat menekan brek lalu melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu motosikal mangsa terseret sejauh 10 meter dan mangsa tercampak ke kiri jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu dan kelindan lori bagaimanapun tidak mengalami kecederaan manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan di Sik, tindakan pantas dua wanita melompat keluar daripada kereta dinaiki, yang tiba-tiba terbakar, berjaya menyelamatkan nyawa mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, dalam kejadian 6.45 petang semalam di Kampung Lubuk Tualang, dekat sini, pemandu kereta jenis Perodua Myvi berusia 40-an bersama rakannya, terhidu bau hangit dari bahagian enjin kereta yang mereka naiki.

“Mereka nekad melompat keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri sebelum kereta itu mengeluarkan api dan terbakar. Api marak dengan cepat, namun kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, sepasukan anggota BBP  Sik bersama lapan anggota mengambil masa 10 minit untuk kerja pemadaman api, manakala punca dan kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast