Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Ketua Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin ( dua kanan) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (satu kiri) bergambar pada Sambutan Hari Kastam Sedunia ke- 42 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 23 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi projek membaiki perumahan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah itu menyaksikan pertambahan RM30 juta berbanding RM20 juta yang diumumkan sebelum ini.

Anwar memberitahu, kerajaan memberi keutamaan kepada aspek perumahan warga JKDM serta agensi-agensi penguat kuasa yang lain agar kediaman mereka dibaiki.

“Proses tender itu harus dipatuhi tetapi boleh dipercepatkan, boleh disegerakan.

“Kalau tandas rumah itu robek, tandas rosak, takkan nak tunggu siap enam bulan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42 Tahun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Aris Rizana Mohd Zainudin.

Perdana Menteri juga memberi jaminan, kerajaan akan menambah peruntukan tersebut sekiranya ada keperluan tambahan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi bayangan warga JKDM akan menerima bonus yang lebih baik tahun ini berbanding yang diterima tahun lalu.

Anwar berkata, insentif tersebut adalah bagi menghargai prestasi cemerlang mereka dalam mengutip hasil melepasi sasaran yang ditetapkan tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Anwar tidak memperincikan lebih lanjut tentang kadar bonus yang bakal diberikan itu.

Terdahulu, Anis Rizana dalam ucapannya memaklumkan, JKDM berjaya mencapai kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion tahun lalu, melepasi sasaran RM53.5 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast