KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi serbuan ke atas sebuah gudang di kawasan Perindustrian Mantin, Negeri Sembilan pada 19 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, serbuan tersebut membawa kepada rampasan barang tidak bercukai bernilai RM18.2 juta.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua rampasan melibatkan 60,900 karton rokok putih, 9,780 karton rokok keretek, 23,520 tin minuman keras selain sebuah lori, forklif dan palet dalam gudang itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Hazani, siasatan yang dilakukan membawa kepada penahanan dua lelaki termasuk seorang warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu.
Katanya, kesemua tangkapan disiasat di bawah Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette