KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih mengekalkan status projek perumahan Residensi Hektar Gombak di bawah kategori sakit dan akan terus membantu pemaju bagi mendapatkan bantuan pinjaman kewangan untuk menyiapkan projek tersebut.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah berkata, Residensi Hektar Gombak diklasifikasikan sebagai projek sakit kerana mengalami kelewatan berbanding jadual kerja yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli (PJB) dan telah gagal untuk disiapkan dalam tempoh PJB.
Status kemajuan sebenar di tapak kekal sebanyak 84.75% dan kerja-kerja di tapak hanya minimum dan tidak memberikan kemajuan yang signifikan.
Projek ini adalah salah satu projek perumahan di bawah program Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan (Residensi Wilayah) yang dimajukan oleh pemaju Hektar Aneka Sdn. Bhd dan dilesenkan di bawah Akta Pemajuan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].
Ia merupakan projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada 5 blok bangunan pangsapuri 46 tingkat melibatkan 2,400 unit rumah dan lokasi pemajuan ini terletak di Jalan Gombak, Setapak, Kuala Lumpur.
Menurutnya, Pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang ditubuhkan pada tahun 2023 telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemaju dan turun ke tapak projek ini sebagai langkah mitigasi daripada kerajaan dan berjaya memudahcara menyelesaikan isu-isu teknikal yang melibatkan Pemasangan Paip Utama Di Bawah Skim Bekalan Air Bersepadu (IWSS), Pelan Rawatan Kumbahan dan pemasangan paip Greater KL (GKL).
“Walau bagaimanapun status kemajuan projek ini masih tertangguh berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh pemaju,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Aiman Athirah, kerajaan akan terus membantu pemaju dengan syarikat mereka hendaklah akur dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh institusi kewangan bagi memastikan dana pinjaman diluluskan kepada pemaju berkenaan.
“KPKT sedia memperhalusi alternatif terbaik untuk membantu pemulihan projek perumahan sakit terutamanya bagi rumah mampu milik demi kemaslahatan pembeli rumah yang terpaksa menanggung pembiayaan perumahan di samping kos menyewa rumah sedia ada.
“KPKT melalui TFST komited meneruskan agenda nasional dalam membantu pemulihan projek-projek perumahan swasta yang bermasalah sama ada dalam
kategori lewat, sakit atau terbengkalai bagi memastikan kepentingan pembeli rumah terpelihara seterusnya mengurangkan beban rakyat bagi menjamin kelestarian
industri perumahan mampu milik secara keseluruhan,” ujarnya. – MalaysiaGazette