PBAPP melaksanakan dua pelan tindakan respons kecemasan secara serentak bagi pemulihan bekalan air di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Gangguan bekalan air akibat paip di bahagian dasar Sungai Perai bocor yang menjejaskan penduduk Barat Daya serta sebahagian Timur Laut berkemungkinan berpanjangan selama tujuh hari.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang melaksanakan dua pelan tindakan respons kecemasan secara serentak yang diluluskan Mesyuarat Exco hari ini.

Jelas beliau, pelan A adalah melaksanakan kerja-kerja mengapit semula saluran paip 1,350 milimeter (mm) bahagian bocor.

“Kebocoran paip kali ini masih di tempat sama namun saiz kebocoran itu besar iaitu berukuran 1.05 meter x 0.65 m.

“Sekiranya pelan A berjaya, Jumaat ini kita akan dapat memulihkan bekalan air kepada 84 peratus daripada 120,000 pengguna yang terkesan.

Kerja-kerja pemulihan sedang berjalan dan dijangka selesai dalam tempoh masa terdekat.

“Bagaimanapun, bekalan air akan dipotong sekali lagi membabitkan penduduk di kawasan sama pada 30 Januari ini bagi membolehkan pemasangan sambungan paip sedia ada kepada paip baharu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Kon Yeow mengadakan lawatan ke ‘panthal’ (khemah makanan) sempena perayaan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga di sini.

Mengulas mengenai pelan B, Kon Yeow yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP berkata, kerja-kerja berkaitan rancangan itu telahpun bermula pada 14 Januari lalu iaitu pemasangan dua paip merentasi Sungai Perai di bahagian permukaan sungai.

“Apabila siap, paip sedia ada di dasar Sungai Perai tidak akan digunakan lagi kerana sudah ada lencongan air.

“Bekalan air akan dihentikan sementara pada 30 Januari ini bagi pemasangan sambungan paip sedia ada ke paip baharu.

“Selama 16 jam diperlukan untuk sambungan paip baharu dan pada 31 Januari air akan baru air akan disalurkan semula,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow memaklumkan lori tangki air telah digerakkan ke kawasan terjejas dan pengguna diminta menyimpan air untuk kegunaan harian sementara kerja penggantian paip selesai. – MalaysiaGazette