Antara persembahan atau demokrasi oleh Jabatan Pertahanan Awam ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Foto SYADILA AMARI, 24 JANUARI 2024.

BANGI – Kerajaan menyasarkan keupayaan keanggotaan seramai 150,000 bagi Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada akhir 2025, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan berusaha meningkatkan jumlah itu bagi menampung keperluan khususnya ketika berdepan situasi kecemasan dan bencana banjir.

“Sebab itu kita mulakan dengan pengambilan sukarelawan dengan lebih banyak lagi. Kita sudah ada 79,000 (pegawai dan anggota APM) dan saya sudah arahkan ambil lagi 64,000 sukarelawan yang meliputi semua pengerusi jawatankuasa kampung, pengerusi desa madani untuk juga dipertahan awamkan.

“Perkara ini tak mustahil dilakukan, supaya pada akhir 2025 nanti, saya mahu melihat sokongan sukarelawan angkatan APM mesti mencapai angka 150,000 pegawai dan anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri ke Ibu Pejabat APM, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut berusaha supaya jumlah perjawatan tetap dalam APM ditingkatkan selepas ini.

“Keperluan jawatan tetap amat penting, namun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah menyatakan pengambilan baharu mesti berdasarkan kepada pengambilan tetap tapi tak berpencen.

“Kerana pada 2040, kalau pengambilan jawatan tetap sedia ada diteruskan, maka tanggungjawab kerajaan untuk membayar pencen akan mencecah RM120 bilion.

“Ini tentunya membebankan kewangan kerajaan. Tidak berpencen pun tak mengapa, asalkan tidak jawatan kontrak yang diberikan kepada pegawai dan anggota APM,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu keanggotaan Briged Seni APM diperbesar termasuk memanggil tokoh seni tersohor bagi menarik minat anak muda menyertai pasukan beruniform.

“Saya ingin besarkan Briged Seni APM yang terdiri dari pelakon dan penyanyi supaya menyertai pasukan sukarelawan APM. Kita sudah ada Datuk Nash, Datuk Hattan dan Rohana Jalil.

“Namun, saya yakin kumpulan artis muda juga boleh jadi ikon kepada masyarakat sertai APM,” katanya.

Ahmad Zahid berhasrat supaya pengamal media khususnya wartawan dipelawa menyertai sukarelawan APM menerusi modul latihan jangka pendek.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan berusaha mencari dana tambahan bagi meningkatkan elaun sukarelawan APM.

“Elaun sudah dipertingkat RM8 sejam. Saya pun faham tapi duit kerajaan tak cukup. Kita doakan agar ditambah.

“Saya janji pada diri saya, saya akan bantu sukarelawan APM dan unit lain dan sukarelawan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) yang jelas banyak membantu mangsa banjir dan mereka ini yang tidak ada elaun, akan juga dielaunkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast