DOHA – Juara dua kali Korea Selatan amat menghormati Malaysia menjelang perlawanan terakhir mereka dalam Kumpulan  E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, di sini, esok.

Ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann telah memberi amaran kepada anak buahnya untuk bersedia menghadapi perlawanan sukar dengan Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang mempunyai maklumat menyeluruh tentang pemain Korea Selatan.

Legenda Jerman itu juga tidak menolak kemungkinan Taeguk Warriors perlu menghasilkan satu lagi aksi kebangkitan pada  perlawanan esok sama seperti bagaimana mereka terpaksa melakukan kebangkitan lewat untuk seri 2-2 dengan Jordan sebelum ini.

Korea Selatan yang menghuni tangga ke-23 dunia perlu mendapatkan tiga mata berdepan Harimau Malaya di ranking ke-130 untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir selaku juara kumpulan.

“Kami bersedia untuk perlawanan sukar esok. Malaysia pasukan yang bagus dan menghormati mereka…kami melihat mereka bermain dan kami melakukan kerja rumah.

“Seperti anda semua melihat, perlawanan dengan Jordan adalah sukar..jadi kami sudah bersedia dan tidak sabar untuk perlawanan esok,” kata anggota pasukan Jerman yang memenangi Piala Dunia 1990 itu pada sidang media praperlawanan, di sini, hari ini.

Mengulas prestasi Malaysia dalam kempen kali ini, Klinsmann yang turut membantu Jerman memenangi Kejohanan Eropah buat kali ketiga pada 1996 sebagai pemain, berkata anak buah Pan Gon menunjukkan peningkatan besar dalam perlawanan menentang Bahrain berbanding kekalahan 0-4 kepada Jordan pada perlawanan pembukaan.

Beliau turut bersimpati dengan kekalahan malang Malaysia kepada Bahrain pada saat-saat akhir perlawanan.

Walaupun beliau percaya Malaysia mungkin mempunyai kelebihan sedikit kerana kefahaman Pan Gon mengenai hampir semua pemain Korea Selatan, beliau tidak menjangkakan ia akan memberi kesan terhadap tumpuan pasukannya untuk meraih tiga mata.

“Pan Gon mengenali pemain saya dengan baik kerana dia warga Korea Selatan dan mengikuti perkembangan setiap pemain dalam skuad kebangsaan. Bagaimanapun, kami perlu melakukan tugas kami,” katanya.

“Kami perlu mendekati dengan cara yang betul, hormati lawan tetapi bermain bersungguh-sungguh dan mengekalkan aksi dengan tempo tinggi…harap ini dapat menghasilkan tiga mata penuh,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon-woo berkata, Pan Gon telah membawa banyak perubahan positif kepada pasukan Malaysia tetapi tumpuan mereka lebih kepada persediaan untuk perlawanan esok.

“Saya tidak pernah bermain di bawah kepimpinan Pan Gon. Saya hanya kenali beliau sebagai jurulatih yang membawa perubahan drastik kepada bola sepak Malaysia. Sebagai pemain, saya akan memberikan usaha 100 peratus untuk memperoleh mata penuh, ” kata pemain kelab Ulsan HD bersusia 32 tahun itu.

Ini merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait dengan bekas penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989.

Korea Selatan kini menduduki tempat kedua dalam Kumpulan E Piala Asia dengan empat mata, sama seperti Jordan yang mendahului kumpulan dengan perbezaan gol yang lebih baik, manakala Bahrain berada di tempat ketiga (tiga mata) dan Malaysia tercorot tanpa sebarang mata. – Bernama